Majlis Pelancaran Program Sumbangan Dana / Wakaf Al-Quran kepada masjid, surau Jumaat, surau, sekolah dan pihak-pihak yang terkesan musibah banjir telah diadakan di dewan solat utama. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Datuk Hj Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan seterusnya ucapan perasmian oleh YBhg. Tan Sri Dr. Hj Mohd Daud Bakar, Pengerusi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Yg.brs Haji Muhyidin bin Aziz@Saari, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan turut mengiringi beliau bersama Pengarah JAWI melancarkan gimmick perasmian program tersebut di atas pentas. Pada majlis tersebut turut diadakan sesi penyerahan “mock check” sumbangan dari Dato’ Khay Ibrahim, Masjid Jamek Kg. Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat, Lembaga Tahun Haji, Masjid Wilayah Persekutuan dan Pengerusi MAIWP. Majlis diakhiri dengan tazkirah ringkas oleh YBhg. Tan Sri Dr. Hj Mohd Daud Bakar sebelum masuknya waktu solat Jumaat.
23.12.2021
Majlis Bacaan Yasin, Solat Hajat dan Doa Selamat Peringkat Wilayah Persekutuan telah berlangsung di dewan solat utama MWPKL setelah masuknya solat fardu Maghrib dan diteruskan dengan solat Maghrib diimamkan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad, Menteri di JPM Hal Ehwal Agama. Beliau turut mengimamkan solat Hajat dan Isyak serta membimbing bacaan doa selamat, manakala bacaan Yasin telah dipimpin oleh Tuan Haji Muhyidin bin Aziz@Saari, Imam Besar MWPKL. YBhg. Tan Sri Dr. Hj Mohd Daud Bakar, Pengerusi, MAIWP, YBhg. S.S Datuk Dr.Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan YBhg. Datuk Hj Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI antara yang turut hadir pada majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan tazkirah ringkas oleh YB Menteri selepas solat Isyak.
21.12.2021
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Mosque Care Programme bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan makanan sarapan pagi serta bantuan barangan kebersihan diri dan kelengkapan ibadah kepada penduduk-penduduk yang terkesan akibat tanah runtuh di Kampung Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
Majlis dimulakan pada jam 7.45 pagi dengan ucapan aluan pengacara majlis dan doa, Seterusnya ucapan daripada YBhg. Tan Sri Dr. Hj Mohd Daud Bakar (Pengerusi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan MAIWP). Turut Hadir YBhg. Datuk Hj Mohd Ajib bin Ismail (Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI), YBhg. Tuan Haji Muhyidin bin Sa’ari@Aziz (Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan) dan Tuan Haji Mohd Ali b Jaafar (Pengerusi Masjlis Perwakilan Penduduk Kg Sg Penchala) bagi mengiringi Pengerusi MAIWP.
250 orang mangsa yang terlibat akibat tanah runtuh telah menerima sumbangan daripada Masjid Wilayah Persekutuan, JAWI Food Bank dan Sahabat MAIWP berupa makanan sarapan pagi dan alatan kelengkapan kebersihan seperti ubat gigi, berus gigi, sabun mandi, lampin pakai buang, toto, kain pelikat, kain batik dan sebagainya.
Semoga mangsa-mangsa yang terlibat akibat tanah runtuh serta banjir di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sabar di atas ujian ini serta dipermudahkan segala urusan mereka.
20.11.2021
Kuliah Maghrib Perdana " Kitab Anak Kunci Syurga" bersama Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus telah berlangsung di dewan solat utama. Turut hadir Yg. Brs Haji Muhyidin bin Aziz, Imam Besar MWPKL. Jumlah kehadiran pada majlis tersebut dianggarkan seramai 600 orang jemaah. Kuliah tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab dan berakhir selepas solat Isyak.
13.11.2021
Majlis Perasmian Program Jilsah Ulama 2021/2022 telah berlangsung di dewan serbaguna MWPKL dengan anggaran kehadiran seramai 200 orang peserta. Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBhg Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI manakala ucapan perasmian dan gimmick pelancaran telah disempurnakan oleh Tuan Haji Wan Rohimi b. Wan Daud, Setiausaha Politik YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama. Sejurus selepas majlis perasmian, program pengajian dimulakan dengan mukadimah oleh Mursyid Utama iaitu YBhg Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad.