17 Mac 2025 | 16 Ramadan 1446H (Isnin) – Masjid Wilayah Persekutuan hari ini menjadi saksi kepada Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Wilayah 2025, yang berlangsung dengan penuh keilmuan dan keberkatan.
Majlis bermula dengan ketibaan para pelajar tahfiz, yang diiring ke ruang solat utama untuk menunaikan solat Asar berjemaah. Acara kemudian dimulakan dengan pengacaraan oleh Al-Fadhil Ustaz Esywal, diikuti dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ustaz Kharul Anuar.
Majlis seterusnya dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Sebagai pengisian utama, Ustaz Amirrahman Abas, seorang Qari Antarabangsa, memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran, diikuti dengan sesi Tadabbur Ayat Al-Quran oleh Ustaz Syahmi Syazeril bin Azmi, Felo Tadabbur Centre.
Selepas sesi ilmu, majlis beralih ke Dewan Muslimin untuk acara penyerahan sumbangan Hari Raya kepada para pelajar tahfiz, sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menghafaz kitab suci Al-Quran. Acara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Al-Fadhil Ustaz Afandi Harun.
Seiring masuknya waktu Maghrib, azan dilaungkan sebelum semua hadirin bersama-sama menikmati iftar berjemaah.
Semoga majlis ini menjadi peringatan kepada semua tentang keagungan Al-Quran serta kepentingan menghayatinya dalam kehidupan seharian.