PROGRAM AMBANG RAMADAN 1446H PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
Hits: 1111
8
27 FEBRUARI 2025M | 28 SYAABAN 1446H(KHAMIS) -Masjid Wilayah telah mengadakan program khas bertajuk Ahlan Ya Ramadan sebagai persiapan untuk menyambut bulan Ramadan. Program ini dimulakan dengan Pelancaran Ihya Ramadan yang mengumumkan pelbagai aktiviti dan inisiatif untuk memakmurkan masjid sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Majlis diteruskan dengan sumbangan daripada Sahabat Masjid untuk memeriahkan lagi aktiviti sepanjang bulan Ramadan di MWPKL.
Tumpuan utama acara adalah Kuliah Khas Ambang Ramadan yang bertajuk Ahlan Ya Ramadan, yang disampaikan oleh Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI. Beliau berkongsi petua-petua keimanan melalui ibadah puasa serta memberikan panduan tentang bagaimana untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan lebih baik termasuk amalan ibadah dan peningkatan akhlak.
Dalam kuliah tersebut, beliau juga menekankan pentingnya penggunaan gajet secara bijak sepanjang Ramadan. Beliau mengingatkan agar umat Islam tidak terlalai dengan penggunaan gajet yang berlebihan, tetapi sebaliknya dapat memanfaatkannya untuk mempertingkatkan amalan ibadah seperti membaca al-Quran, mengikuti ceramah agama, dan menyebarkan kebaikan melalui media sosial. Penggunaan gajet yang terarah dapat membantu kita tetap produktif dalam beribadah tanpa mengabaikan tujuan sebenar Ramadan.
Beliau juga berpesan agar umat Islam terus berusaha dan bercita-cita untuk melaksanakan kebaikan sepanjang Ramadan dan seterusnya. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, dengan lebih 350 jemaah hadir untuk memeriahkan majlis.