Akidah Benteng Kekuatan Ummah

Subhanallah, Maha Suci Allah, pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. 

Berdasarkan Rukun Islam yang pertama umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahaillaah adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW dasar utama perjuangan baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Makkah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini, bukan perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep tuhan Yang Maha Esa itu. Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah tuhan Yang Maha Esa itu.?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya”.

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini maka mimbar ingin mengulangi sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan juga tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Dengan itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh dia’yah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai. Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidangkuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ’alaihimussalam dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali meng-esakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 171:

Maksudnya“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” 

Mimbar mengakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam kitab suci yang diterjemah ke bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengah penganut samawi termasuk Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan lain-lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah. Ia berbeza sama sekali dengan konsep tiga dalam satu (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut pada hari ini.

Oleh itu, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Jika kita melihat dengan teliti isu ini ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam Liberal. Para pendi’ayah Islam Liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, mereka menterjemahkan Kitab Bible sebagai al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Qur’an baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Semuanya ini adalah agenda pendi’ayah-pendi’ayah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia