11 September 2025 | 18 Rabiulawal 1447H (Khamis) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: “Rasulullah Teladan Ummah Sepanjang Zaman”
KUALA LUMPUR, 12 September 2025 – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan malam ini disambut dengan penuh khusyuk dan keberkatan. Majlis bermula dengan Selawat Iftitah pada jam 7.45 malam, diikuti dengan ceramah Maulidur Rasul yang bermula pada 7.55 malam, bertajuk “Rasulullah Teladan Ummah Sepanjang Zaman” oleh Ustaz Shahrizan bin Daud At-Turabi.
Dalam ceramahnya, Ustaz Shahrizan mengingatkan para hadirin bahawa mengenang dan mengingati Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian adalah kewajiban setiap umat Islam. Beliau menekankan, "Kita janganlah mengabaikan mengingati Rasulullah dalam hidup kita. Jika kita tidak ingat pada Nabi, maka Nabi pun tidak akan menghiraukan kita. Janganlah jadi insan yang tidak mengingati Nabi."
Beliau turut menjelaskan bahawa solat adalah waktu yang sangat penting untuk membina hubungan dengan Allah. "Sesungguhnya Allah dan para malaikat turut berselawat kepada Rasulullah, maka sangatlah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang untuk berselawat kepada Baginda."
Ustaz Shahrizan juga mengajak umat Islam untuk terus berselawat, bukan hanya di bulan Rabiulawal, tetapi sepanjang tahun. "Jika kita jarang berselawat, bagaimana kita akan mendapat kesempatan untuk bertemu Rasulullah dalam mimpi kita? Setiap kali kita berselawat kepada Nabi, Allah berselawat 10 kali kepada kita." Dalam ucapannya lagi, Ustaz Shahrizan turut mengingatkan, "Janganlah kita hanya mengingati Nabi Muhammad SAW di bulan Rabiulawal sahaja. Rasulullah adalah junjungan kita yang agung, dan seharusnya kita meneladani akhlak dan ajaran Baginda setiap masa."
Pada 9.00 malam, acara diteruskan dengan Selawat Penutup, yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Syawal. Setelah itu, para hadirin bersama-sama menunaikan Solat Isyak pada jam 9.10 malam, diikuti dengan jamuan makan pada 9.40 malam. Majlis berakhir sekitar 10.00 malam, dengan suasana penuh keberkatan dan ukhuwah yang kukuh di kalangan jemaah.
Majlis ini diadakan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dan sebagai platform untuk mempereratkan hubungan sesama umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Semoga dengan sambutan ini, kita semua memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW dan menjadi umat yang sentiasa mengingati serta mengikuti sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan.